Jemaah Haji Malaysia Dinasihatkan Jaga Kesihatan Menjelang Wukuf Di Arafah

Jemaah Haji Malaysia Dinasihatkan Jaga Kesihatan Menjelang Wukuf Di Arafah

MAKKAH – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Isnin menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga kesihatan untuk menunaikan rukun haji utama, Wukuf di Arafah pada 25 Okt.

Seri Paduka bertitah ibadah bermalam di Muzdalifah dan melontar Jamrah di Mina juga merupakan rukun haji dan perjalanan ke arah itu, memerlukan tuntutan fizikal dan kerohanian yang tinggi.

“Beta dan Raja Permaisuri amat gembira dapat meninjau sendiri keadaan jemaah haji Malaysia yang kelihatan sihat dan bersedia untuk berwukuf, ” titah Tuanku Abdul Halim semasa melawat ibu pejabat Tabung Haji di Bangunan Abraj Al-Janadriah, di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Seri Paduka juga menerima cendera hati daripada Ketua Muassasah Asia Tenggara Sheikh Zuhair Al Sandayu iaitu sebahagian daripada kiswah (kain yang menutupi Kaabah) yang disalin baru-baru ini.

Tuanku Abdul Halim turut melahirkan rasa gembira kerana dapat beramah mesra dengan para jemaah dan petugas Tabung Haji Malaysia semasa berada di Tanah Suci.

Seri Paduka juga mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas usaha berterusan badan itu memberi dan menambah baik perkhidmatan kepada semua jemaah Malaysia.

“Ramai pemimpin negara asing dan juga Kerajaan Arab Saudi kagum dan memuji serta memandang tinggi sikap dan perwatakan jemaah Malaysia sehingga ada yang menyatakan jemaah Malaysia adalah yang terbaik dalam kalangan jutaan jemaah lain,” titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah pengiktirafan itu membuktikan kejayaan Tabung Haji melaksanakan amalan terbaik dan membudayakan kerja cemerlang dalam usaha membantu tetamu Allah memperoleh Haji Mabrur.

Seri Paduka berdua tiba ke Tanah Suci pada 19 Okt lepas bagi menunaikan ibadah haji Tamattu’.-BERNAMA

Close