Malaysia Janji Masa Depan Lebih Baik Bagi Warga Sarawak

Malaysia Janji Masa Depan Lebih Baik Bagi Warga Sarawak

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri Jepak, Datuk Talib Zulpilip berusia 12 tahun apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 Sept, 1963.

Bagi Talib dan penduduk Sarawak lain pada masa itu, Gagasan Malaysia menjanjikan masa depan lebih baik dan hak untuk memerintah sendiri.

Talib seperti kebanyakan warga Sarawak tidak sabar menunggu tarikh keramat itu yang ditunda dua kali dari 1 Jun, 1963 ke 31 Ogos, 1963 dan akhirnya ke 16 Sept, tahun yang sama.

Warga Sarawak seperti Talib yang sudah lama menunggu kecewa dengan penangguhan tarikh keramat itu yang berpunca kerana bantahan Indonesia terhadap Gagasan Malaysia dan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Bagaimanapun, halangan itu tidak menghalang pembentukan Malaysia yang pada awalnya terdiri daripada Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Namun Singapura meninggalkan persekutuan itu pada 1965.

Pungutan suara yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Cobbold mendapati penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju dengan gagasan Malaysia.

Talib yang adalah pengakap pada masa itu diberi penghormatan untuk menurunkan bendera penjajah Britain dan menaikkan bendera Malaysia di sekolahnya.

“Kami berasa bangga untuk menjadi rakyat Malaysia dan rakyat sebuah negara baru,” kata Talib, yang juga Menteri Muda Pelancongan Sarawak kepada Bernama di sini baru-baru ini.

MANFAAT KETARA

Manfaat daripada menyertai Persekutuan Malaysia dirasai oleh penduduk Sarawak dari awal lagi.

Antara manfaat awal yang dinikmati oleh penduduk Sarawak ialah pembukaan lebih banyak sekolah menengah sejak 1964.

Sekolah-sekolah ini memberi peluang bagi golongan muda-mudi seperti Talib untuk melanjutkan pengajian, yang memungkinkan anak petani, nelayan dan peruncit menjadi doktor, jurutera, ahli ekonomi, guru dan pengurus.

“Bilangan mereka yang lulus Common Entrance Examination (setara dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah sekarang ini) pada 1963 agak ramai dan kebanyakan kami berpeluang menyambung pengajian di tingkatan satu pada tahun berikutnya,” jelas Talib, yang meneruskan persekolahan di Bintulu Government Secondary School.

Anak kelahiran Bintulu ini mendapat ijazah sarjana dalam Perniagaan dan Pentadbiran daripada Victory University di Wellington, New Zealand.

Bandaraya Kuching

TRANSFORMASI BESAR

Kini, setelah 49 tahun menyertai Persekutuan Malaysia, Sarawak dan penduduknya banyak mengecapi kesejahteraan hasil pembangunan pesat bumi kenyalang itu.

Satu contoh baik adalah Bintulu, yang menyaksikan transformasi daripada sebuah perkampungan nelayan kepada sebuah metropolis yang rancak bersama hotel-hotel moden, sekolah-sekolah, sebuah kampus universiti dan industri yang menyediakan peluang pekerjaan bagi seluruh Sarawak, Semenanjung dan hinggakan dunia.

Bintulu adalah tempat bagi sambutan peringkat kebangsaan ulangtahun ke 49 Malaysia.

Sambutan ini dengan tema “Janji Ditepati, Rakyat Sejahtera” dijadual berlangsung di tapak bekas lapangan terbang lama, yang pernah disenaraikan dalam Malaysian Guinness Book of Records sebagai lapangan terbang paling dekat dengan bandar.

“Prinsip saya mudah, kita berganding bahu untuk menjadikan Bintulu tempat yang lebih baik daripada segala segi,” katanya merujuk kepada kawasan pilihan rayanya yang juga berada di bawah kerusi Parlimen Bintulu.

Digelar sebagai hab perindustrian Bumi Kenyalang, pertumbuhan Bintulu sejak tahun-tahun kebelakangan ini didorong oleh industri petrokimia termasuk gas asli cecair.

Bintulu dijangka menyaksikan pembangunan ekonomi yang lebih pesat lagi khasnya dengan penubuhan beberapa industri insentif tenaga di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

SATU PENCAPAIAN PENTING DALAM SEJARAH

Bagi Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Dr Jerip Susil, Hari Malaysia membayangkan pencapaian signifikan dalam sejarah Sarawak.

Lagipun, pada waktu itu kesan domino daripada ancaman komunis membawa cabaran getir kepada negeri yang baru merdeka ini.

“Sarawak sebagai sebuah negeri yang masih baru dan sedang muncul, menghadapi isu kritikal daripada segi keselamatan semasa pembentukan Malaysia, tetapi menerusi persekutuan, negeri ini muncul sebagai entiti lebih besar dan utuh,” jelas Dr Jerip, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bengoh.

Beliau berkata ulangtahun kemerdekaan yang ke 49 negeri ini dalam Malaysia juga menandakan kejayaan besar dalam melawan ideologi-ideologi yang berlawanan dengan demokrasi.

Dr Jerip, 55, seorang Bidayuh yang mengendalikan klinik sendiri di Kota Padawan sebelum menceburi politik berkata kumpulan-kumpulan minoriti di Bumi Kenyalang ini amat beruntung kerana keselamatan dan kestabilan yang dicapai melalui Persekutuan Malaysia.

Penduduk Sarawak juga telah menggorak langkah jauh ke hadapan sejak merdeka daripada golongan petani yang menetap di luar bandar kepada sebuah masyarakat moden dengan lebih ramai berpindah ke bandar-bandar.

Pemegang biasiswa Mara ini, yang melanjutkan pengajian di bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), juga menunjukkan bahawa banyak kanak-kanak pintar daripada masyarakat minoriti ini menerima biasiswa Komanwel atau Colombo Plan untuk dilatih di luar negara.

Mereka pulang untuk berjasa kepada negeri asal dan begitu juga Dr Jerip yang selepas menamatkan pengajian pada 1985 berkhidmat di Hospital Besar Sarawak dan kemudian di Hospital Bahagian Sri Aman.

BIDAYUH PROGRESIF

Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat Bidayuh telah menerima manfaat besar daripada pembangunan terutama apabila perkampungan mereka berdekatan dengan pekan atau bandar yang berkembang pesat seperti Bau dan Serian dan ibu negeri, Kuching.

“Masyarakat Bidayuh dapat menyesuaikan diri dengan baik seiring pembangunan di persekitaran mereka. Mereka mempunyai ketabahan dan kemampuan untuk bersaing dalam dunia yang kompetitif dan bersifat global,” katanya.

Beliau mengambil contoh Pandelela Rinong yang menjadi wanita pertama Malaysia memenangi pingat gangsa Olimpik pada acara terjun yang menjadi kebanggaan Sarawak dan Malaysia.

“Tahniah kepada semua warga Malaysia bersempena dengan tarikh keramat ini. Kita meraikan kebebasan demokrasi bersama-sama,” kata Dr Jerip. -BERNAMA

Close