Syarikat Korporat Disaran Melabur Dalam Bidang Penyelidikan – Tun M

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata syarikat Malaysia perlu melabur lebih banyak dalam bidang penyelidikan bagi membolehkan Malaysia setanding dengan negara membangun lain.

Beliau berkata adalah malang apabila banyak syarikat Malaysia keberatan untuk melabur dalam penyelidikan.

“Mereka keberatan kerana mereka tidak menyedari manfaatnya. Tetapi kita telah melihat bagaimana penyelidikan yang dilakukan oleh beberapa negara memberi faedah kepada negara lain termasuk kita.

“Negara yang ke hadapan dalam pengetahuan saintifik terbukti menjadi negara paling maju,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis penyampaian hadiah pertandingan ‘Cabaran Sains Peringkat Kebangsaan 2012’ (NSC) di sini Isnin.

Dr Mahathir yang juga Felo Kehormat Akademi Sains Malaysia (ASM) berkata lebih banyak pertandingan seumpama itu perlu dianjurkan untuk mendedahkan bakat tersembunyi pelajar Malaysia.

Pemenang pertandingan itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min Kedah merangkul hadiah utama, Piala Trofi Cabaran Perdana Menteri dan berpeluang menghadiri upacara penyampaian Hadiah Nobel di Stockholm Sweden pada Disember.

Tempat kedua, dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis Melaka, manakala Sekolah Menengah St Michael Sabah menduduki tempat ketiga dan keempat ialah SMK Tinggi Bukit Mertajam Pulau Pinang.

— BERNAMA

Close