Tiga Perlawanan Persahabatan Persediaan Untuk Piala AFF Suzuki

Tiga Perlawanan Persahabatan Persediaan Untuk Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengatur tiga perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ kepada skuad Harimau Malaya bulan depan, sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki 2012 yang bermula 23 Nov.

FAM dalam kenyataan hari ini berkata tiga perlawanan persahabatan itu melibatkan pertemuan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada 3 Nov; berdepan Thailand di Chiang Mai pada 7 Nov sebelum menamatkan aksi bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 Nov.

Sebanyak 28 pemain dipanggil untuk sesi latihan pusat dan pemilihan bagi persediaan menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ itu bulan depan, menurut kenyataan itu.

FAM menyatakan bahawa semua pemain berkenaan dikehendaki melaporkan diri kepada ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Tujuh pemain lagi diminta bersedia menjalani latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan sekiranya dipanggil untuk menggantikan mana-mana 28 pemain itu yang mengalami kecederaan.

FAM berkata pemain Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu lepas pula, dikehendaki melaporkan diri sebelum pukul 12 tengah hari esok.
– BERNAMA

Close